Kelab Sahabat Farhan Nur Farhan binti Azizan

Kelab Sahabat Farhan atau Farhan Friends’ Club (FFrC) yang dilancarkan baru-baru ini bukan sekadar menjual nama Farhan semata-mata sebaliknya memberi pelbagai faedah kepada peminat yang menyertainya. Farhan Friend’s Club sudah pun merancang pelbagai aktiviti menarik untuk ahli yang mendaftar secara rasmi. FFrC dilancarkan secara besar-besaran pada 19 Ogos 2006 di Taman Tasik Titiwangsa.

Dengan yuran sebanyak RM68, setiap ahli berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti yang membabitkan Farhan serta membolehkan ahli menikmati pelbagai keistimewaan yang disediakan kelab terbabit antaranya menikmati diskaun istimewa untuk pelbagai aktiviti seperti percutian, penginapan hotel dan makan di restoran yang terpilih di seluruh Malaysia. Ia juga menyediakan khidmat polisi insuran kemalangan diri serta kos perubatan sehingga RM2,000 untuk setiap ahlinya.

Setiap ahli akan diberikan sebuah kad khas yang akan membolehkan mereka menikmati segala kemudahan yang disediakan. Kad tersebut menggunakan ciri teknologi contact-less terkini yang mengandungi segala data keahlian dan juga boleh digunakan untuk tujuan lain.